Wednesday, January 09, 2008

Surat buat mama..

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum wrt..

Buat mama tersayang,

Jarum jam menunjukkan hampir pukul 11 malam. Mama di sana, sedang buat apa? Biasanya pada waktu sebegini, samaada mama sedang melayan papa menonton tv ataupun sedang tidur. Ah, rindunya pada mama yang tidak pernah jemu melayan papa di ruang tamu. Setiap kali Kakla (saya) lihat raut wajah mama sedang bergelak mesra bersama papa, Kakla tidak boleh tidak merasakan mamalah isteri yang penyayang. Ah! Malunya kakla nak menyatakan hasrat di hati tika ini, melihatkan betapa beratnya tanggungjawab sebagai seorang isteri. Tapi kakla percaya inilah hasil usaha mama selama ini kan. Kebahagian bukanlah hadiah, tapi ia adalah hasil dari usaha sendiri.

Mama pasti terkejut kalau baca tulisan kakla ni. Dalam keluarga kita, tidak pernah ada hubungan yang perasaan dilafazkan dengan mulut. Mungkin sejak kecil begitulah kami diajar dan dibesarkan. Seingat kakla sejak besar ni, mama tidak pernah melafazkan perkataan sayang pada kakla, tapi mama selalu buat sesuatu untuk kakla. Entah kenapa, tapi kakla rasa semua itu sangat dan jauh mendalam makna dan nilainya berbanding kalau mama ucapkan perkataan sayang semua itu. Mama yang selalu tersenyum dan ketawa riang di waktu kepenatan pulang dari kerja. Mama yang selalu ceria di hujung talian bertanya khabar di waktu kakla kesepian. Mama yang selalu membawa pulang sesuatu di waktu kakla memerlukannya. Mama yang mengajarkan kakla dunia yang kini kakla berpijak. Mama yang sentiasa memerhatikan kakla dari satu sudut dan menghulurkan tangan di waktu kakla sesat. Mama yang sanggup menadah tempias kehinaan kakla. Mama yang tidak pernah jemu memikirkan hal kebajikan kakla. Mama yang berperit duka tika kakla ditimpa dugaan dan cabaran. Mama yang menangis kerana kakla sedang kesakitan ditimpa fitnah dunia. Mama yang kadang kala di tengah malam menjengah tika kami berdengkur kerana bimbangkan kami walaupun setiap dari kami sudah dewasa. Mama yang sebak kerana jauh dari mata.

Andai kakla ingin senaraikan semua perihal mama, pasti tidak habis. Kakla tidak sesekali ingin katakan mama seorang yang sempurna. Tapi kerana mama, kakla sedar manusia tidak mampu menjadi seorang yang sempurna. Mungkin mama tidak berpeluang membaca surat ini, tapi entahlah. Kakla tiba-tiba ingin menulis satu untuk mama. Seingat kakla, kakla pernah tulis satu untuk mama, pertama kalinya, tapi entah di mana surat itu.

Tapi mama, andainya kakla buat sesuatu yang mama tidak restui atau sesuatu yang mama tidak jangkakan, maafkan kakla. Mungkin kerana kakla masih kanak-kanak yang sedang mencari dunianya sendiri. Mungkin juga kerana kakla sudah sesat, hilang arah di depan mata. Mungkin juga sedang mencari huluran tangan mama. Oleh itu, mama, harapan kakla, janganlah mama letih menghulurkan tangan mama kepada kakla. Dan andainya tangan mama kali ini tidak bersambut, maafkan kakla...

wassalam

No comments: