Friday, November 09, 2007

Wake up oo Muslims!!

Salam 'alaik..

Ulang tayang cerita 2 3 hari lepas masih bermain-main di fikiranku. Tidak letih, tidak bosan. Ia pernah mendapat tempat di hujung otakku tapi kenapa seperti baru semalam aku pertama kali mendengarnya. Kedua-dua tangan ku letakkan di kepala, ingin mengurangkan denyutan yang sedang bermain-main di kepalaku. Ah, tidak ada kesan pun. Sedih. Kenapa ini yang aku dapat? Kenapa ini balasannya? Kenapa aku dipilih untuk mengetahui kebenaran ini? Alangkah indahnya andai aku hidup dalam dunia yang telah lama kubina ini. Hidup yang pasti mati dihujung hayatku. Hidup yang hanya memikirkan balasan hidup di dunia. Lantas aku teringatkan kata-kata seseorang.

"Mati itu pasti. Kejayaan Islam itu pasti. Itulah antara janji-janji Allah pada makhlukNya. Kita boleh pilih sama ada ingin turut serta dalam menjayakan Islam itu atau ingin terus berada di dalam dunia rekaan kita. Tapi apa yang pasti saya ingin menabur saham saya dalam kejayaan Islam yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Walaupun kita tidak tahu bila ia akan berlaku."

Aku terpaku seketika tatkala mendengar. tidak pernah terfikir sebelum ini. Mampukah aku memikul beban ini? Layakkah aku mengendong amanah ini? Fikiranku kembali bercelaru. Aku mahukan jawapan. Aku mahukan kebenaran.

Nah! Kebenarannya sudah terletak di depan matamu. Soalanmu sudah terjawab.

Apa yang aku cari selama ini, adakah ini jawapannya? Bila ku pandang belakang kembali, aku sedar. Aku tahu hidupku selama ini penuh sia-sia. Hina. Malu. Aku malu mengenang kembali.

Kau tak perlu memandang belakang. Di hadapanmu terbentang luas jalan yang kau akan pilih. Banyak jalan yang kamu boleh pilih, namun sedarlah bahawa setiap pilihan yang kamu ambil, kamu akan pikul tanggungjawabnya beserta kesan dari pilihanmu itu. Andainya manusia begitu senang membuat pilihan nescaya manusia akan senantiasa mematuhi undang-undang yang telah Penciptanya aturkan untuknya.

Tapi..

Adakah kau masih ragu-ragu? Adakah kau ragu-ragu terhadap janji Yang Maha Kuasa? Adakah dunia di tanganmu terlalu sayang untuk lepaskan? Begitu bernilaikah dunia yang kau belai itu? Jika begitu kenapakah setiap kali kau dilanda dugaan dan derita, dunia itu yang kau benci dan kau kembali padaNya? Layakkah kau berbuat demikian sedangkan kau pernah membuang janji yang dilimpahkan padamu?

Aku termagu lagi. Tidak mampu membalas kata-kata itu. Benar. Sungguh benar. Aku tenung kembali saat-saat bila aku tidak menghiraukan tugas-tugas sebenarku semata-mata untuk menghiasi dunia yang penuh dengan janji palsu. Apakah tugasku yang sebenarnya? Adakah aku hidup ini semata-mata untuk hidup di dunia yang hanya melampiaskan hiburan dan meragut harapan indah manusia? Jika begitu, alangkah hinanya aku. Ya! Menjadi khalifah dan beribadat kepadaNya. Aku hampir lupa. Aku tersenyum sendiri, bukan kerana bangga kerana masih ingat tazkirah yang disampaikan oleh kakak seniorku. Tapi kerana dalam kebodohanku ini, rupanya masih ada cahaya yang masih menerimaku. Masih ada harapan untuk ku berdiri dengan izzahnya melaungkan aku sangat berbangga menjadi seorang muslim. Ya! Aku seorang muslim dan di hadapanku terbentang luas tugas-tugasku sebagai muslim.

Sudah kuketemu jalan yang bakal kulalui. Ya Allah Ya Rabbal 'alamiin. Engkau ampunkanlah setiap saat zaman lampauku. Andainya aku disuruh membalas balik dengan perbuatan baik satu demi satu perbuatan hinaku di masa lampau, nescaya aku tidak mampu. Engkau ringankanlah beban ini, dan Engkau rahmatilah dan berkatilah jalan yang kupilih ini. Amin.

No comments: